KUALA LUMPUR 5 Jun – Ketua
Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk bertanding dalam pilihan
raya kecil dan menjadi ahli Parlimen dalam beberapa bulan akan datang selepas
selesai mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia.
Anwar berkata, tujuannya
untuk kembali ke Dewan Rakyat bukan bertujuan mengganggu tugas Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Malah, jelas beliau, Dr.
Mahathir boleh menjalankan tugas mentadbir negara dengan selesa dan baik.
“Saya terfikir juga,
keterlaluan bagi sesetengah pihak hanya takut saya hendak bagi kejutan atau
mengganggu Perdana Menteri. Biar Dr. Mahathir cakap dengan sayalah. Setakat ini
kami berdua berbincang dengan baik.
“Semalam, dia (Dr.
Mahathir) bagi akses yang sangat baik. Bila saya hendak telefon, terus dalam
beberapa minit, dapat panggilan kembali. Itu adalah dia merupakan seorang
Perdana Menteri yang sibuk. Saya kena ambil perkiraan itu juga dan Dr. Mahathir
tahu saya pergi mana-mana jumpa raja atau jumpa rakyat, saya sudah bagi tahu
Dr. Mahathir. Kini, saya hendak bagi laluan untuk dia mentadbir tanpa gangguan
dan merasa selesa menjalankan tugas dengan baik,” katanya seperti dipetik dalam
temubual bersama portal The Malaysian Insight di sini hari ini.
Tambah Anwar, setakat ini,
beliau hanya mahu menjadi ahli Parlimen biasa dan perkara itu adalah lumrah
dalam politik.
Katanya, beliau tidak pernah
menjadi ahli Parlimen biasa sejak menyertai politik negara pada 1982 kerana
memegang jawatan menteri, Timbalan Perdana Menteri sehingga menjadi ketua pembangkang.
“Kali ini, saya hendak tempa
sejarah pula, hendak jadi ahli Parlimen biasa. Baguslah tu. Saya duduk 10 tahun
setengah dalam penjara, kena godam kiri kanan, kemudiannya hendak bercakap
sebagai ahli Parlimen biasa pun tak boleh? soalnya.
Minggu depan, Anwar dijadualkan
ke London, United Kingdom untuk bertemu bekas Naib Presiden Amerika Syarikat,
Al Gore.
Beberapa hari selepas Hari Raya
Aidilfitri, beliau dijangka ke Turki bagi memenuhi jemputan Presidennya, Recep
Tayyip Erdogan.
Selepas itu, beliau akan
berjumpa dengan beberapa pemimpin dunia dan rakan-rakannya termasuk di India.
Kredit:
Sumber : UtusanOnline