Tuesday 5 June 2018

"Dato Seri Anwar Ibrahim" berhasrat jadi ahli Parlimen



KUALA LUMPUR 5 Jun – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk bertan­ding dalam pilihan raya kecil dan menjadi ahli Parlimen dalam beberapa bulan akan datang selepas selesai mengadakan pertemuan dengan beberapa pe­mimpin dunia.

Anwar berkata, tujuannya untuk kembali ke Dewan Rakyat bukan bertujuan mengganggu tugas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Malah, jelas beliau, Dr. Mahathir boleh menjalankan tugas mentadbir negara de­ngan selesa dan baik.
“Saya terfikir juga, keterlaluan bagi sesetengah pihak hanya takut saya hendak bagi kejutan atau mengganggu Perdana Menteri. Biar Dr. Mahathir cakap dengan sayalah. Setakat ini kami berdua berbincang dengan baik.
“Semalam, dia (Dr. Mahathir) bagi akses yang sangat baik. Bila saya hendak telefon, terus dalam beberapa minit, dapat panggilan kembali. Itu adalah dia merupakan seorang Perdana Menteri yang sibuk. Saya kena ambil perkiraan itu juga dan Dr. Mahathir tahu saya pergi mana-mana jumpa raja atau jumpa rakyat, saya sudah bagi tahu Dr. Mahathir. Kini, saya hendak bagi laluan untuk dia mentadbir tanpa gangguan dan merasa selesa menjalankan tugas dengan baik,” katanya seperti dipetik dalam temubual bersama portal The Malaysian Insight di sini hari ini.
Tambah Anwar, setakat ini, beliau hanya mahu menjadi ahli Parlimen biasa dan perkara itu adalah lumrah dalam politik.
Katanya, beliau tidak pernah menjadi ahli Parlimen biasa sejak menyertai politik negara pada 1982 kerana memegang jawatan menteri, Timbalan Perdana Menteri sehingga menjadi ketua pembangkang.
“Kali ini, saya hendak tempa sejarah pula, hendak jadi ahli Parlimen biasa. Baguslah tu. Saya duduk 10 tahun setengah dalam penjara, kena godam kiri kanan, kemudiannya hendak bercakap sebagai ahli Parlimen biasa pun tak boleh? soalnya.
Minggu depan, Anwar dijadualkan ke London, United Kingdom untuk bertemu bekas Naib Pre­siden Amerika Syarikat, Al Gore.
Beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri, beliau dijangka ke Turki bagi memenuhi jemputan Pre­sidennya, Recep Tayyip Erdogan.
Selepas itu, beliau akan berjumpa dengan beberapa pemim­pin dunia dan rakan-rakannya termasuk di India.

Kredit:
Sumber : UtusanOnline

KJ mengaku 1MDB punca Umno Tumbang



SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui parti keramat Melayu itu tumbang kerana kegagalan menteri terdahulu menegur Presidennya yang juga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang skandal 1MDB.

Khairy berkata, barisan kepimpinan tertinggi gagal menuntut penjelasan berhubung skandal kewangan tersebut hingga mengakibatkan BN berdepan kekalahan teruk pada 9 Mei lalu.

 “Kami terlepas satu peluang, kami semua untuk menyakinkan mengenai hakikat sebenar tentang situasi tersebut,” katanya kepada South China Morning Post.

 Menurutnya, parti sepatutnya sudah bertindak terhadap Najib apabila beliau memecat menteri yang secara terbuka menentang bekas menteri kewangan itu berhubung skandal 1MDB pada 2015.

Pada 15 Mei lalu, Khairy dalam satu wawancara mengakui kesal kerana parti mengabaikan suara akar umbi yang mula dikesan menolak mereka selepas dua pemimpin kanan parti disingkirkan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

 Najib kini berhadapan siasatan dakwaan terlibat dalam penyelewengan membabitkan syarikat milik kerajaan itu.

 Beliau bagaimanapun menafikan sebarang dakwaan salah laku.

kredit - SINAR HARIAN 4 JUNE 2018